Jurulatih Ireland Bidas Negara Haram
MakanBola
FA Ireland

Jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson mengingatkan ramai peminat bola sepak bahawa pasukan itu tidak mahu menentang Israel untuk kempen Liga Negara-Negara UEFA (UNL).

Malah, jurulatih Iceland itu mengingatkan peminat bahawa Ireland menentang negara yang diketahui telah melakukan jenayah kemanusiaan ke atas rakyat Palestin.

“Kita bukan bermain dengan (pelaku) jenayah genosid, kita bermain menentang (pelaku) jenayah genosid. Kita bukan bermain bersama Israel, kita bermain menentang Israel,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Hallgrimsson turut memaklumkan bahawa beliau sudah bercakap secara individu dengan semua pemain Ireland. Kesemua pemain memaklumkan mereka merasa tidak selesa beraksi menentang Israel.

Sebaik kenyataan jurulatih berusia 59 tahun itu tular di media sosial, Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) menyifatkan kenyataan Hallgrimsson sebagai tidak bertanggungjawab dan bodoh.

Hal ini mendorong Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin tampil mempertahankan jurulatih pasukan itu. Beliau turut mengingatkan Israel agar cermin diri dan sedar apa yang berlaku di Palestin merupakan satu jenayah perang dan kemanusiaan.

“Itu kenyataan tak bertanggungjawab dan patut ditarik balik. Kita amat jelas dan saya fikir (Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)), Antonio Gutierres pun sudah mengulanginya pagi ini.

“Beliau tidak pernah melihat skala kemusnahan dan kematian seperti yang dilakukan Israel ke atas Gaza selepas serangan Hamas sebelum perang tercetus. Jurulatih kita katakan perkara sama.

“Israel tak boleh menafikan apa yang dunia tahu dan apa yang dunia faham,” katanya.

Ramai pihak terutama figura sukan Ireland menggesa Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) memboikot perlawanan dengan Israel. Meskipun begitu, FAI memaklumkan jika mereka berbuat demikian, ini akan memberi kesan negatif kepada bola sepak negara itu.

Salah satu daripadanya ialah arena bola sepak Ireland bakal kehilangan suntikan kewangan berjumlah €10.8 juta (RM50.4 juta).

Ireland akan berdepan Israel sebanyak dua kali pada 27 September dan 4 Oktober ini.