Advertisements
Jurulatih JDT Sebut 3 Pencabar Hebat Musim Depan, Ada Nama Selangor
UltraSukan
UltraSukan
JDT Futsal

Jurulatih skuad futsal Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Juan Antonio Miguel Garcia percaya ada tiga pasukan yang bakal mencabar pasukan itu pada tahun 2025.

JDT meraih gelaran juara berganda untuk musim 2024. Selepas bergelar juara Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Harimau Selatan muncul juara Malaysia Futsal Cup.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan naib juara Divisyen 1, Selangor FC di pentas final yang diadakan di Axiata Arena pada 6 Oktober lalu.

Meskipun gembira dengan pencapaian anak buahnya, Miguel Garcia sudah mula fokus untuk perancangan musim 2025. Dan beliau percaya Shah Alam City, Selangor dan Pahang Rangers bakal menjadi pesaing utama JDT pada musim hadapan.

“Saya fikir mereka telah menunjukkan mereka mampu beraksi pada tahap ini, dalam situasi ini. Sekarang untuk musim hadapan ialah langkah seterusnya.

“Sekarang susah nak berehat kerana pasukan lebih menghormati kita dalam liga. Shah Alam City telah menunjukkannya dalam saingan kejuaraan. Pahang Rangers sudah pasti merancang satu lagi kempen memburu kejuaraan.

“Selangor tetap Selangor. JDT satu pasukan yang bagus dan saya sukakan cabaran musim seterusnya,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan final Malaysia Futsal Cup.

Saingan hebat yang diberikan Selangor kepada JDT dalam aksi final berkenaan turut mendorong Miguel Garcia memuji beberapa pemain pasukan itu.

Antara pemain yang menerima pujian bekas pengendali skuad futsal Real Betis itu ialah Syahir Iqbal Khan dan Syawal Sabaruddin.