Jurulatih Jepun Titip Nasihat Berguna Buat Beregu Malaysia
UltraSukan
BA Malaysia

Bekas jaguh beregu lelaki Malaysia, Lee Wan Wah menasihati barisan pemain negara terutama pemain beregu agar bijak menyerap tekanan ketika beraksi di gelanggang.

Pandangan itu dibuat Wan Wah selepas melihat aksi beregu negara menentang beregu Jepun yang dilatih beliau dalam aksi peringkat kumpulan Thomas Cup baru-baru ini.

Anak jati Ipoh, Perak itu mengakui barisan pemain negara terutama barisan beregu cukup berkualiti dan memiliki gaya permainan yang hebat.

Pada masa sama, Wan Wah melihat keupayaan menyerap tekanan penting jika mereka ingin tampil lebih cemerlang selepas ini.

“Pemain beregu Malaysia perlu bijak mendapatkan ritma permainan menerusi corak permainan terkini.

“Jadi, mereka harus cepat sedikit dalam menyerap tekanan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

Hasrat Malaysia untuk meraih gelaran juara Thomas Cup musnah apabila terkandas di peringkat suku akhir.

Kem negara tewas di tangan juara bertahan, China dengan keputusan 3-0. Keputusan ini menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian separuh akhir yang dilakar pada edisi 2024.