Jurulatih Malaysia, Asyraf Fauzi Sertai Nam Dinh
MakanBola
Thep Xanh Nam Dinh FC

Bekas juara V. League 1, Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) merekrut bekas penganalisis Perak FC, Asyraf Fauzi sebagai penganalisis prestasi pasukan yang baru.

Pelantikan beliau diumumkan pengurusan Nam Dinh dalam satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu. Asyraf dibawa masuk menggantikan rakan senegara, Idham Anuar yang meninggalkan Nam Dinh selepas dua musim.

“Kelab Thep Xanh Nam Dinh mengalu-alukan penganalisis Muhammad Asyraf dan ahli fisiologi khas, Tran Mạnh Trí untuk menyertai pasukan..

“Kelab mengharapkan kedua-dua pakar ini akan cemerlang dalam kepakaran mereka, berdiri bersama dengan seluruh pasukan dan menyumbang kepada musim yang berjaya untuk Thép Xanh Nam Dinh,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Asyraf pernah menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan pada 2023. Pada ketika itu, pasukan dibimbing Datuk Lim Teong Kim sebelum bekas jurulatih Star City FC, Yusri Che Lah memimpin pasukan untuk baki musim tersebut.

Selain Perak, Asyraf juga pernah menabur bakti bersama Selangor FC Bawah 21 Tahun (B-21) dan MISC-Touchtronics FC.

Beliau mengikut jejak beberapa jurulatih negara yang pernah menabur bakti dalam saingan V. League 1. Antaranya bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz dan Mashiedee Sulaiman.