Seorang jurulatih Malaysia memikul tugas besar bersama kelab Vietnam, Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) menjelang aksi separuh akhir pertama Shopee Cup menentang Selangor FC.
Jurulatih yang dimaksudkan ialah Idham Anuar. Sebelum ini, nama beliau menjadi sebutan kerana menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan Nam Dinh bergelar juara V. League 1 musim 2024/25.
Selain Idham sebagai penganalisis video, barisan kejurulatihan Nam Dinh turut diperkuatkan dengan kehadiran seorang lagi jurulatih negara, Mashiedee Sulaiman.
Beliau pada ketika itu bertugas sebagai jurulatih kecergasan. Mashiedee kini telah kembali ke Malaysia dan menggalas tugas sebagai jurulatih kecergasan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Apa yang menarik ialah Idham antara penganalisis video asing pertama berkhidmat dalam saingan V. League 1. Tugasnya ialah menyampaikan maklumat pihak lawan kepada jurulatih dan pemain.
Justeru, Idham dilihat banyak berkomunikasi dengan barisan kejurulatihan dan pemain Nam Dinh termasuk semasa sesi latihan.
Ini bagi memastikan mereka sentiasa mendapat maklumat penting yang diperlukan sebagai persediaan menghadapi lawan.
Kelibatnya turut dilihat dalam sesi latihan Nam Dinh menjelang hari perlawanan separuh akhir pertama Shopee Cup menentang Selangor pada 6 Mei ini.
Selain Nam Dinh, Idham sebelum ini bertugas sebagai penganalisis video buat skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).