Kejayaan Thep Xanh Nam Dinh FC bergelar juara liga Vietnam musim 2024/25 dibantu dengan input dua anak Malaysia.
Nam Dinh bergelar juara dengan baki satu perlawanan apabila menewaskan QNK Quang Nam 2-0 pada 15 Jun lalu.
Ly Cong Hoang Anh dan Lam Ti Phong memastikan Nam Dinh mempertahankan kejuaraan mereka yang dimenangi pada musim 2023/24.
Menariknya, dua anak Malaysia turut menyumbang kepada kejayaan ini menerusi maklumat yang dikongsikan Harimau Abroad. Mereka ialah Mashiedee Sulaiman dan Idham Anuar.
Mashiedee menggalas peranan sebagai jurulatih kecergasan Nam Dinh. Idham pula menggalas tanggungjawab sebagai penganalisis video pasukan itu.
Mereka mengikut jejak bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz. Azmin membantu Cong An Ha Noi FC (CAHN) muncul juara liga sebagai jurulatih penjaga gol untuk musim 2022/23.
Nam Dinh berpeluang menutup kempen liga dengan kemenangan apabila turun menentang Hong Linh Ha Tinh pada 22 Jun.