Seorang jurulatih skuad kebangsaan Malaysia dilaporkan berada dalam radar kelab Indonesia, Madura United.
Portal Blitar Kawentar melaporkan kelab yang diberi jolokan Sape Kerrab itu mahu mendapatkan khidmat jurulatih Malayan Tigress dari Brazil, Joel Cornelli.
Pengurusan Madura United dilaporkan melihat Cornelli sebagai figura terbaik menggantikan jurulatih sebelumnya dan rakan senegara, Carlos Parreira.
Parreira dipecat Madura United baru-baru ini selepas hanya merekodkan satu kemenangan daripada 14 perlawanan Super League.
Ini termasuk kekalahan 4-1 di tangan Persita Tangerang dan kekalahan 5-0 di tangan juara bertahan, Persib Bandung.
Cornelli bukan asing dengan bola sepak Indonesia. Ini kerana beliau pernah membimbing Arema pada 2024 sebelum meninggalkan pasukan itu pada Disember tahun sama.
Selepas meninggalkan Arema, beliau kemudiannya direkrut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih Malayan Tigress pada Mei 2025.