Jurulatih Norway Hairan Gol England Dikira
MakanBola
Fotballandslaget

Jurulatih Norway, Stale Solbakken mengakui merasa hairan dengan tindakan pengadil mengesahkan gol penyamaan England dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 antara kedua-dua pasukan itu.

Selepas ketinggalan menerusi gol Andreas Schjelderup, The Three Lions bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol bintang Real Madrid, Jude Bellingham.

Meskipun begitu, gol tersebut mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminat bola sepak. Ini kerana bola yang disepak penjaga gol Norway, Orjan Nyland didakwa terkena kabel kamera sebelum jatuh semula ke atas padang.

Bola kemudiannya dilarikan pemain sayap baharu Barcelona, Anthony Gordon sebelum menghantar bola yang disudahkan Bellingham. Insiden itu mencetuskan kemarahan kem Norway termasuk penjaring terbanyak mereka, Erling Haaland.

Solbakken turut meminta penjelasan daripada pengadil di atas padang berhubung insiden itu selepas wisel rehat separuh masa ditiup.

Apabila diminta mengulas insiden berkenaan, jurulatih Norway itu mendakwa bola terkena kabel kamera dan disaksikan ramai orang termasuk staf kejurulatihan beliau.

“Ramai orang di bangku simpanan memberi reaksi dengan pantas. Saya bukan salah seorang daripada mereka tetapi ramai dapat melihatnya,” katanya seperti dilaporkan DAZN Football.

Solbakken juga merasa pelik dengan kenyataan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bahawa cip dalam bola tidak mengesan sentuhan ketika bola terkena kabel.

“Jika tiada bunyi atau apa-apa (yang dikesan) cip, apa yang saya boleh katakan tentang itu? Bola memang jatuh ke bawah dari atas.

“Semua orang kata termasuk Orjan (Nyland) yang juga penjaga gol dan orang yang menerima bola (Anthony Gordon). Jadi, saya fikir itu jelas bahawa perkara itu berlaku. Ia satu perkara yang pelik,” tambahnya.

Norway terlepas peluang ke separuh akhir apabila tewas 2-1 kepada England dalam masa tambahan. Bellingham sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan Scandinavia itu dengan menjaringkan gol kemenangan.