Piala Dunia 2026: Gol England Didakwa Tidak Sah?
MakanBola
England FT

Jaringan penyamaan England ketika menentang Norway dalam aksi Piala Dunia 2026 menjadi perbualan hangat selepas muncul dakwaan gol tersebut terhasil susulan insiden pelik melibatkan kamera spider-cam FIFA.

Insiden itu berlaku selepas sepakan penjaga gol Norway, Orjan Nyland terkena kamera yang tergantung di udara ketika bola masih dalam permainan sebelum bola tersebut jatuh tepat ke arah Anthony Gordon.

Bola kemudian dikuasai England sebelum Jude Bellingham menjaringkan gol penyamaan hanya lapan saat selepas insiden berkenaan berlaku.

Menurut laporan Yahoo Sports, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada jaringan tersebut sepatutnya disahkan atau tidak kerana bola didakwa terkena objek luar sebelum serangan England bermula.

Berdasarkan Undang-undang Permainan IFAB, permainan perlu dihentikan sekiranya bola terkena objek luar ketika masih berada dalam padang dan perlawanan disambung semula dengan keputusan dropped ball.

Malah, terdapat dakwaan VAR juga sepatutnya boleh campur tangan memandangkan insiden tersebut berlaku dalam fasa serangan yang membawa kepada jaringan England.

Bagaimanapun, FIFA menjelaskan hasil semakan terhadap sistem sensor bola tidak menunjukkan sebarang pengesanan sentuhan luar biasa pada bola ketika insiden berlaku.

“FIFA telah menyemak data dan tiada bacaan puncak pada graf daripada sensor heartbeat bola bersambung,” menurut kenyataan badan induk bola sepak dunia itu.

Penjelasan tersebut bagaimanapun tidak memuaskan hati pihak Norway yang mempersoalkan mengapa sistem sensor tidak mengesan sentuhan kamera spider-cam berkenaan.

Kontroversi itu turut mengingatkan kembali insiden ketika aksi Croatia menentang Portugal apabila sensor bola FIFA mengesan sentuhan minimum sebelum gol penyamaan Croatia dibatalkan.

Perbezaan keputusan daripada sistem teknologi tersebut sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap ketepatan sensor bola yang digunakan sepanjang Piala Dunia 2026.