Keadaan terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang baik mengundang keresahan jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy.
Jurulatih dari Republik Czech itu berhasrat ingin mencuba padang SNBJ semalam bagi membantu anak buahnya beradaptasi menjelang perlawanan menentang Malaysia.
Malangnya, perkara tersebut tidak dapat direalisasikan. Ini selepas Silhavy dimaklumkan keadaan padang SNBJ belum berada pada tahap terbaik.
Meskipun mengakui situasi ini memberi cabaran kepada Oman, itu bukan halangan buat pasukan itu untuk meraih keputusan positif di tempat lawan.
“Malangnya kami tahu cuaca teruk, padang tidak akan bersedia untuk aksi esok, tetapi pemain sudah bersedia dengan keadaan tersebut.
“Semalam kami diberitahu keadaan padang tidak dalam keadaan baik jadi kami tidak boleh berlatih di sana,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan yang berlangsung pada hari ini.
Sebelum ini, situasi padang SNBJ yang kurang elok turut mengundang kebimbangan jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Bagaimanapun, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan kepada Pan-gon dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bahawa padang SNBJ akan kembali pulih menjelang aksi Malaysia-Oman yang berlangsung esok.
Menjelang perlawanan esok, Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac dilihat mengunci mulut tentang hal ini dan hanya memaklumkan bakal bersua dengan penyokong pada hari itu.
“Kita jumpa 26 haribulan untuk Malaysia lawan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita balas 0-2 itu, semua,” katanya.
Perlawanan Malaysia-Oman di SNBJ merupakan perlawanan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 untuk Kumpulan D.