Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira mengakui agak terkejut dengan cara yang ditampilkan oleh JDT FC ketika pertemuan dua pasukan semalam.
Aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Penang itu menyaksikan anak didik Tano Solari berjaya meraih kemenangan ke-13 Liga Super dengan keputusan 2-0.
Mengulas lanjut, beliau kelihatan berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh anak buahnya namun terkejut dengan permainan yang ditampilkan oleh skuad Harimau Selatan.
“Memang kita kalah di tempat sendiri namun saya berpuas hati dengan usaha para pemain saya kerana kita tahu kualiti Penang dan JDT agak jauh.”
Beliau bagaimanapun merasa terkilan kerana tidak dapat menampilkan aksi terbaik berpunca daripada kesalahan yang dilakukan.
“Namun saya agak terkilan kerana sepatutnya penonton yang ramai disajikan dengan aksi yang seimbang oleh kedua-dua pasukan tetapi kita digagalkan dengan foul-foul yang tidak sepatutnya.”
“Selalu orang kata kita akan bermain parking bus, merosakkan bola sepak Malaysia tetapi apa yang berlaku saya agak terkilan,” jelasnya kepada Astro Arena.
Perkara ini merujuk kepada beberapa insiden keras yang berlangsung sepanjang 90 minit permainan sehingga mengganggu rentak terbaik yang mahu ditampilkan oleh kedua-dua pasukan.
JDT akan berkunjung ke Terengganu bagi aksi 9 Jun manakala Penang akan melayani kunjungan KL City pada 8 Jun di gelanggang sendiri.