Jurulatih Pohang Steelers, Park Tae-ha melihat barisan tonggak import yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai sumber kekuatan pasukan itu.
Pandangan itu dilontarkan beliau apabila ditanya tentang juara Liga Super 12 kali itu menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara kedua-dua pasukan itu.
Tae-ha melihat JDT memiliki ramai pemain import berkualiti. Hal ini membolehkan pasukan gergasi selatan tanah air itu mampu memberi cabaran hebat di pentas Asia.
“Johor satu pasukan yang bagus. Tiada perbezaan yang ketara antara pasukan dari tahun lalu dan sekarang. Pemain import menjadi sebahagian daripada kekuatan pasukan itu.
“Johor juga memiliki beberapa pemain dengan kemahiran yang hebat dan kaya dengan pengalaman. Ini satu perkara di mana kita perlu berhati-hati,” katanya seperti dilaporkan portal Maeil Business.
Meskipun terpaksa melupakan khidmat Eddy Israfilov kerana menjalani penggantungan, JDT memiliki ramai tonggak import berwibawa sebagai pilihan buat jurulatih, Xisco Munoz.
Antaranya Yago Cesar, Kevin Medina, Marcos Guilherme, Andoni Zubiaurre, Antonio Glauder, Ager Aketxe, Jonathan Silva, Rui Nene dan Oscar Arribas.
Selain itu, dua tonggak naturalisasi baharu Harimau Malaya, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo turut menambah kekuatan Harimau Selatan. Pohang Steelers dan JDT bakal berentap di Pohang Steelyard pada 13 Oktober ini.
Aksi ini juga dilihat peluang buat Pohang membalas dendam terhadap JDT. Sebelum ini, pasukan Korea Selatan itu dibelasah 5-2 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada musim 2024/25.