Aksi Liga Negara-Negara UEFA (UNL) membabitkan Hungary dan Belanda ditangguh selama 13 minit susulan insiden kecemasan perubatan membabitkan Adam Szalai.
Belanda perlu menang jika ingin layak ke suku akhir UNL selaku naib juara Kumpulan A3. Manakala Hungary juga perlu menang jika ingin memburu slot naib juara kumpulan.
Ini juga aksi ketiga Szalai sebagai pembantu jurulatih kepada jurulatih Hungary, Marco Rossi selepas dilantik pada Oktober 2024.
Penyokong yang berada di Johan Cruyff Arena kemudiannya cemas apabila bekas kapten Hungary itu rebah di bahagian teknikal pasukan. Susulan itu, pengadil perlawanan, Jesus Gil Manzano menangguhkan perlawanan bagi membolehkan bantuan perubatan diberi kepada Szalai.
Pasukan perubatan turut meletakkan khemah bagi melindungi privasi bekas pemain Hoffenheim itu semasa beliau menerima rawatan.
Pemain dan staf kedua-dua pasukan kelihatan cemas termasuk kapten Hungary, Dominik Szoboszlai. Ini kerana insiden ini mengingatkan pasukan Hungary terhadap insiden Barnabas Varga yang rebah selepas berlanggar dengan penjaga gol Jerman untuk aksi EURO 2024.
Pada awalnya, ada pemain yang mahu aksi ini ditangguhkan. Walau bagaimanapun, selepas perbincangan diadakan antara Szoboszlai dan rakan-rakan sepasukan, mereka memilih untuk meneruskan permainan.
Belanda meraih kemenangan 4-0 menerusi gol Wout Weghorst, Cody Gakpo, Denzel Dumfries dan Teun Koopmeiners.
Rossi kemudiannya memaklumkan Szalai tidak lagi berada dalam keadaan bahaya dan menerima rawatan di hospital.
“Adam tidak lagi dalam bahaya, kami ucapkan semoga cepat sembuh. Para pemain memilih untuk meneruskan permainan, selepas penalti (Weghorst), situasi kita menjadi lebih sukar.
“Belanda menunjukkan kehebatan mereka, kita juga memiliki lima atau enam peluang untuk menentang lawan sebegini,” katanya.
Selepas ini, Hungary akan menentang Jerman pada awal pagi 20 November. Manakala Belanda akan menutup kempen kumpulan dengan menentang Bosnia-Herzegovina pada hari yang sama.