Walaupun kehilangan ketua jurulatih, Selangor terus memandang kehadapan dengan menghantar barisan kejurulatihan pasukan ke Belanda untuk menimba ilmu selain meraih pengalaman berharga.
Antara jurulatih Selangor yang dihantar ke Belanda adalah Jurulatih Bawah-20 Selangor, Firdaus Tan Aziz. Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Pengarah Teknikal Selangor FC, Dennis Bekking di laman X.
Firdaus bersama seorang lagi jurulatih telah dihantar ke Belanda bagi tujuan Siri Jelajah Antarabangsa Pembangunan Jurulatih Selangor.
Siri jelajah itu menyaksikan kedua-dua jurulatih telah berkunjung ke beberapa kelab hebat di Belanda seperti Ajax Amsterdam, AZ Alkmaar dan Feyenoord untuk menimba ilmu kejurulatihan di sana selain menyaksikan perlawanan yang melibatkan akademi kelab di Belanda.
Ketika lawatan ke Feyenoord, kedua-dua jurulatih Selangor itu juga sempat bersua muka dengan bekas penyerang berbisa Belanda, Robin Van Persie.
Terkini, kedua-dua jurulatih itu baru sahaja berkunjung ke kelab Sc Hereenveen dan sehingga kini, kedua-duanya sudah berada di Belanda selama 10 hari bagi siri jelajah tersebut.