Jurulatih Singapura Akui Malaysia Terlalu Handal
MakanBola
FA Singapore

Pengendali Singapura, Gavin Lee mengakui Malaysia terlalu handal buat pasukannya dalam aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup.

Singapura yang memerlukan kemenangan untuk sekurang-kurangnya layak ke penentuan tempat ketiga sebagai naib juara kumpulan dibelasah Harimau Malaya 6-0.

Penyerang berbisa Malaysia, Bergson da Silva mencipta hatrik dalam perlawanan itu. Stuart Wilkin, Paulo Josue dan Syahir Bashah turut mencetak nama sebagai penjaring.

Kekalahan itu bukan saja kekalahan terbesar Singapura sejak dibimbing Lee. Malah, ini juga kekalahan terburuk The Lions di tangan Harimau Malaya sejak tahun 1968.

Lee mengakui Singapura belum berada pada tahap di seperti Malaysia ketika ini. Hal ini harus diatasi lebih-lebih lagi dengan pasukan itu akan bersaing dalam Piala Asia 2027.

“Tahniah kepada Malaysia, sudah tentu mereka berhak untuk layak. Sejujurnya, ia tidak seperti perlawanan 6-0 tetapi kita tidak menunjukkan usaha mencukupi untuk layak dan itu sesuatu yang menyedihkan buat kita.

“Ini sesuatu yang kita perlu renungkan dan sedar tahap kita mahu bersaing dan terus mencuba untuk melangkah ke hadapan.

“Setiap perlawanan sentiasa menjadi ingatan (kepada kita). Kita tidak pernah mengharungi perlawanan secara lewa dan dengan mengambil kira konteks dan keadaan, pasukan yang cukup bermotivasi untuk mendapatkan gol selepas 3-0 bukan sesuatu yang normal,” katanya seperti dilaporkan The Straits Times.

Singapura kini menunggu keputusan akhir Kumpulan B bagi mengetahui siapa pasukan yang akan ditentang untuk penentuan tempat kelima dan keenam FIFA ASEAN Cup.