Biarpun satu ketika mendahului 1-0, Solomon Islands pada akhirnya tunduk 4-1 kepada Harimau Malaya semalam. Dan bagi jurulatih mereka, Felipe Vega Arango, kemenangan tuan rumah disumbang oleh sokongan padu penyokong Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.
Sebaik ketinggalan pada minit ke-10 menerusi Raphael Le’ai, Harimau Malaya meningkatkan tekanan ke atas Solomon Islands. Dan kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila Paulo Josue dan penalti Arif Aiman Hanapi memastikan Malaysia mendahului 2-1 semasa rehat.
Ditambah dengan sokongan padu lebih 12,000 penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Harimau Malaya menambah dua lagi gol menerusi Safawi Rasid dan Lee Tuck. Bagi Arango, sokongan padu penyokong Harimau Malaya memastikan kemenangan tuan rumah sentiasa dalam genggaman.
“Para penyokong amat menakjubkan. Ini sesuatu yang saya mahu katakan, anda semua amat bertuah kerana mempunyai atmosfera stadium yang hebat.
“Saya fikir para penyokong amat menikmatinya. Semasa sesi memanaskan badan, saya bercakap dengan pasukan dan bertanya kepada mereka, ‘Berapa kali anda melihat suasana sebegini?’ Mereka beritahu saya, ‘Tidak pernah.’
“Jadi, hari ini ada dua pemain yang beraksi dengan pasukan kebangsaan buat kali pertama, mereka sedikit gementar kerana mereka mengatakan mereka tidak pernah melihat suasana ini dalam kehidupan mereka.
“Saya fikir ini bagus kepada para penyokong. Saya fikir ia bagus kepada kedua-dua pasukan walaupun kami kalah. Ia bagus untuk saya, bagus untuk jurulatih Malaysia (Kim Pan-gon), bagus kepada pemain-pemain Malaysia dan anda semua.
“Jadi, saya fikir suasana perlawanan hari ini amat menakjubkan terutama untuk penonton tuan rumah. Kami tidak mempunyai penyokong untuk Solomon Islands jadi ia bagus untuk semua,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Malaysia-Solomon Islands semalam.