Kelab Liga Super dikhabarkan memburu khidmat jurulatih terkemuka Asia bagi mengisi posisi pengendali pasukan.
Aksi Liga Super memasuki minggu ke-14 dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) gah memimpin saingan Liga Super.
JDT kini mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan sambil meninggalkan pasukan tangga kedua, Selangor dengan 29 mata.
Beberapa khabar mewarnai saingan tempatan tatkala tiga jurulatih kelab Liga Super telah pun direhatkan memasuki separuh musim 2024/25.
Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner telah kehilangan posisinya disusuli oleh Ketua Jurulatih Penang, Akmal Rizal.
Khabar mengejutkan berlaku apabila pengendali Selangor, Nidzam Jamil telah berpisah bersama pasukan sungguhpun mengharungi permulaan musim yang baik.
Menerusi satu laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, beliau memaklumkan bahawa terdapat calon jurulatih dari Asia dan Eropah berada dalam radar pasukan.
“Seorang jurulatih tempatan berprofil tinggi turut tersenarai sebagai calon selain jurulatih import dari Eropah dan Asia.
“Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat,” jelasnya.
Namun begitu, beliau tidak memaklumkan mengenai identiti kelab yang dimaksudkan dalam ciapannya.
Terdapat nama-nama besar jurulatih yang memiliki reputasi besar di Asia seperti Park Hang-seo, Kim Do-hoon, Kazuaki Yoshinaga dan lain-lain.
Saingan Liga Super bakal bersambung pada 10 November bagi aksi tertunda antara Perak dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT).