Jurulatih Wolves Ajar Pemain Malaysia Cara ‘Ikat’ Hwang Hee-chan

Hwang Korea Malaysia Jurulatih Wolves Ajar Pemain Malaysia Cara 'Ikat' Hwang Hee-chan
FA Malaysia & l Korea
Nik Faris @nikfalovic
8:00pm 14/10/2023

Ketua jurulatih Wolverhampton Wanderers FC, Gary O’Neil berkongsi tips berkesan kepada barisan pemain Malaysia untuk merantai penyerang sensasi pasukannya, Hwang Hee-chan.

Pemain berusia 27 tahun itu sudah memasuki musim ketiganya di England sejak beraksi di sana pada musim 21/22 sebelum dipinjamkan ke kelab Jerman, RB Leipzig.

Beliau bagaimanapun akhirnya berjaya mencapai konsistensi bersama Wolves musim ini apabila menjadi watak penting buat pasukan termasuklah ketika membenam Manchester City tempoh hari.

Pemain kebangsaan Korea Selatan ini sudah pun meledak 5 gol dalam 8 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menerusi satu temu bual eksklusif bersama wartawan Stadium Astro, Elli Famira, O’Neil mengakui bahawa pemain sayap versatil ini memiliki kualiti yang cukup baik sambil mengingatkan bahawa beliau memiliki kepintaran luar biasa sebagai pemain bola sepak.

“Beliau (Hwang Hee-chan) memiliki kepintaran luar biasa menerusi gerakannya. Pemain ini memiliki kefahaman yang baik pada waktu bila perlu berada dalam kotak penalti.”

“Jika melihat semula gol yang beliau telah jaringkan, kita akan lihat beliau memiliki kualiti untuk berada pada kedudukan yang tepat. Saya akan beritahu kepada pertahanan Malaysia agar apabila bola sudah tiba di dalam kotak penalti, pastikan kalian tahu bila untuk mencabarnya,” jelasnya kepada Stadium Astro.

Korea Selatan kini kembali pada momentum terbaik apabila mencatatkan kemenangan besar 4-0 ke atas Tunisia dalam satu aksi persahabatan baru-baru ini.

Pasukan bimbingan Jurgen Klinsmann berada di tangga ke-28 dunia sementara Malaysia di tangga ke-134 dunia ketika ini.

Harimau Malaya akan berdepan Korea Selatan pada 25 Januari 2024 di Stadium Al-Janoub pada jam 7:30 malam.