Prestasi Arab Saudi Jatuh Merudum, Peluang Malaysia Menyinar

Malaysia Arab Saudi Prestasi Arab Saudi Jatuh Merudum, Peluang Malaysia Menyinar
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
4:40pm 14/10/2023

Prestasi yang ditampilkan oleh pasukan kebangsaan Arab Saudi terus merudum apabila meneruskan rentetan tanpa kemenangan buat pasukan.

Pasukan ke tangga 57 dunia itu gagal mempamerkan persembahan sebenar sejak kali terakhir mencatatkan kemenangan pada awal Januari lalu berdepan Yaman.

Mereka jelas bergelut apabila mencatatkan 6 kekalahan dan satu seri dalam 7 penampilan terakhir sebelum melangkah ke Piala Asia tahun hadapan.

Pertembungan terbaru menyaksikan mereka dibimbing oleh ketua jurulatih baharu, Roberto Mancini untuk kembali menyemarakkan sinar kemenangan pasukan.

Nigeria yang menghuni tangga ke-40 dunia bagaimanapun memberikan kesukaran buat Arab Saudi apabila pasukan lawan terpaksa bangkit pada saat akhir untuk meraih keputusan seri.

Keputusan ini semestinya memberikan tamparan yang hebat buat Arab Saudi setelah mereka merekodkan satu pencapaian yang luar biasa di Piala Dunia.

Pasukan yang diberi jolokan Al-Suqour Al-Khodhur telah menewaskan juara Piala Dunia 2022, Argentina dengah keputusan 2-1 di Qatar.

Ini juga merupakan khabar yang baik buat Harimau Malaya kerana bakal bertemu Arabian Falcons sekitar 3 Januari 2024.

Venue bagi aksi ini persahabatan itu masih tidak didedahkan.

“Kita memang pasti akan menentang Arab Saudi di Doha pada 3 Januari dan selepas itu mengikut perancangan kita akan terbang ke Oman untuk menentang skuad kebangsaan negara itu.”

“Sama ada kita satu kumpulan dengan Oman atau tidak, saya berpendapat ia sesuatu yang bagus untuk kita kerana ia akan dimainkan secara tertutup,” jelas Hamidin.

Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain. Sementara Arab Saudi pula berada dalam Kumpulan F bersama Thailand, Kyrgyztan dan Oman.