K. Devan: Kita Tak Akan Bertahan Sahaja

Bergson JDT Negeri Sembilan Johor Southern Tigers K. Devan: Kita Tak Akan Bertahan Sahaja
Johor Southern Tigers
Azim Noor @mohdazim45
12:28pm 13/09/2023

Jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan mendedahkan pasukannya tidak akan bertahan bila berdepan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dalam aksi suku akhir Piala Malaysia.

Rekod Liga Super menyaksikan skuad Rusa dibelasah Harimau Selatan 7-0 pada 6 Mac lalu. Ini disusuli dengan satu lagi kekalahan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 Julai lalu.

Ini menunjukkan taktik bertahan yang digunakan Negeri Sembilan sebelum ini tidak akan membawa hasil. Justeru, Devan merasakan strategi berbeza perlu digunakan bagi memerangkap JDT.

“Kami tidak akan bertahan sahaja kerana akan bermain di tempat sendiri. Namun, mungkin corak permainan sedikit berbeza kerana kami perlu menggunakan kelebihan yang ada untuk menangani JDT,” katanya kepada Nadi Arena semalam.

Aksi malam ini turut menyaksikan Negeri Sembilan tempang tanpa beberapa tonggak termasuk Casagrande. Begitupun, Devan percaya anak-anak buahnya sudah bersedia mendepani Harimau Selatan.

“Banyak pemain utama kita cedera seperti Casagrande yang tak dapat diturunkan (dan) Shahrel Fikri. Kemungkinan besar kita akan gunakan Che Rashid (Che Halim) esok bergantung kepada beliau dapat diturunkan atau tidak.

“Dan saya tengok kita ketiadaan Hein (Htet Aung) untuk komitmen pasukan kebangsaan. Dan walaupun takde, persiapan kita berjalan dengan baik. Fokus para pemain semua 100%,” tambahnya.

Aksi suku akhir pertama Piala Malaysia Negeri Sembilan dan JDT akan berlangsung pada malam ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.