Jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar mengakui bangga melihat bek tengah pasukan itu, Harith Samsuri dipanggil menyertai Harimau Malaya.
Nama bek tengah berusia 24 tahun itu menjadi sebahagian daripada 26 pemain yang dipanggil Pau Marti Vicente untuk menghadapi kempen Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024.
Harith turut mencipta sejarah tersendiri kerana menjadi pemain skuad Rusa pertama menyertai skuad kebangsaan sejak tahun 2013.
Tahun itu menyaksikan Nazrin Nawi menjadi wakil tunggal Negeri Sembilan dalam Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Datuk K. Rajagopal.
Nanthakumar mengakui merasa gembira apabila menerima berita panggilan Harith daripada penolong jurulatih Harimau Malaya, E. Elavarasan. Beliau melihat ini satu perkara yang baik untuk karier bekas pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) II itu.
“Saya memang bangga. Bila Coach Ela (Elavarasan) tanya saya pasal Harith, saya puji dia dengan Coach Ela.
“Kalau boleh, saya lepaskan dia (untuk PMEA 2024), saya tak nak kacau. Sebab ini karier dia, jadi dia dapat main dengan skuad kebangsaan. Lagi bagus untuk pasukan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan PDRM-Negeri Sembilan.
Harith membantu skuad Rusa menewaskan PDRM 3-0 dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25. Hadin Azman, A. Selvan dan gol sendiri Eizrul Ashraf Nor Effendy membantu Negeri Sembilan mara ke suku akhir.
Harith bukan satu-satunya muka baru dalam Harimau Malaya untuk PMEA 2024. Antara nama lain yang dipanggil Pau Marti ialah Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham K.K. George, Aiman Hakimi Othman, G. Pavithran, Jimmy Raymond dan Muhammad Abu Khalil.