Bekas ketua jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagobal menitipkan pesanan khas kepada skuad Harimau Malaya yang bakal berdepan Taiwan di laman lawan pada 21 November 2023.
Skuad kendalian Kim Pan-gon kini dalam momentum terbaik selepas berjaya menewaskan pasukan ke-102 dunia, Kyrgyzstan dengan keputusan 4-3 di Bukit Jalil.
Perjuangan Malaysia bagaimanapun akan diteruskan di laman lawan dengan misi meraih mata penting untuk menyalakan harapan ke pusingan ketiga.
Menerusi satu analisis yang dikongsikan oleh Rajagobal, beliau menjangkakan bahawa Malaysia tidak berdepan masalah besar untuk memperagakan aksi terbaik berdepan pasukan ke-152 dunia tersebut.
“Bukan senang untuk beraksi di Taiwan terutamanya di hadapan penyokong setia mereka. Akan tetapi, apabila melihat prestasi semasa Malaysia dan momentum dilihat amat baik.”
“Apabila jurulatih dan pemain tahu bahawa kita ke sama untuk mendapatkan tiga mata, maka ia akan membuatkan perjalanan kita sedikit cerah dan memiliki harapan untuk mengharungi satu demi satu perlawanan,” jelasnya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Skuad negara ketika ini menghuni tangga ke-130 dunia selepas memungut tambahan +15.49 mata berdepan Kyrgyzstan dan bakal mendapat +10.66 mata sekiranya menewaskan Taiwan.
Cabaran sebenar Malaysia adalah berdepan Oman pada tahun hadapan dengan kedudukan ranking FIFA lebih baik bakal menjadi ujian penting buat Malaysia untuk memperbaiki prestasi semasa.