Kad Merah Clark Cemar Jelajah Saudi Newcastle United
Dunia
Newcastle United/Getty Images
Advertisements

Insiden kad merah merupakan sesuatu yang tidak mahu dilihat oleh mana-mana pengurus bola sepak. Ia bukan saja memaksa pengurus menukar pelan permainan mereka. Malah, ia secara tidak langsung mencerminkan tahap disiplin pemain. Pemain yang kerap mengutip kad merah dianggap liabiliti dan perlu disingkirkan walau sepopular mana si polan dalam bilik persalinan.

Sentimen ini pasti bermain dalam kepala pengurus Newcastle United, Eddie Howe sebaik melihat bek tengah Ciaran Clark dilayangkan kad merah selepas menumbuk penyerang Al-Ittihad, Abderrazak Hamdallah.

Insiden ini berlaku semasa perlawanan persahabatan Newcastle-Al-Ittihad di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah, Jeddah semalam. Ia merupakan sebahagian daripada program jelajah Arab Saudi Newcastle United yang diatur oleh pemegang saham majoriti kelab, Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi.

Advertisements

Akibat insiden berkenaan, kedua-dua pasukan bertelagah di atas padang. Selepas bek tengah Ireland itu dibuang padang, giliran Hamdallah pula dikenakan tindakan sama. Ini selepas pemain tersebut didapati membalas perbuatan Clark. Tambah memalukan, ia disaksikan oleh tetamu-tetamu kehormat termasuk Duta Besar Britain ke Arab Saudi, Neil Crompton.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 2-1 Newcastle ke atas pasukan tuan rumah. Dua gol disumbang oleh Allan Saint-Maximin dan Ryan Fraser. Bila diminta mengulas insiden tersebut, Howe mengakui layangan kad merah harus dibuat berdasarkan peraturan permainan.

Bagaimanapun, selepas tamat perlawanan, kedua-duanya berbaik semula dengan bergambar dan saling bertukar jersi sebagai tanda semuanya baik antara mereka. Di sebalik semua ini, Howe masih melihat jelajah Saudi Magpies sebagai berjaya. Ini kerana matlamat utama jelajah ialah membina keserasian antara pemain yang diharap membantu mereka untuk baki musim EPL.

Advertisements

Yang pasti, insiden ini mengundang kritikan keras penyokong Magpies yang melihat bekas bek tengah Aston Villa itu sebagai liabiliti kepada pasukan. Malah, legenda kelab dan pengulas bola sepak Warren Barton menyifatkan apa yang berlaku semalam sebagai mengarut dan tidak boleh diterima.

Situasi ini sudah pasti akan meresahkan Clark selepas mengharungi musim tidak konsisten bersama Magpies. Sebelum ini, beliau turut dilayangkan kad merah pada minit kesembilan semasa perlawanan EPL Newcastle-Norwich City pada Disember lepas. Perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 itu boleh saja bertukar menjadi kemenangan pertama Magpies dalam liga jika Clark menjaga disiplinnya.

Dengan Newcastle sibuk memperkukuh pasukan terutama di bahagian pertahanan pada musim perpindahan Januari, ia sememangnya satu prospek membimbangkan. Ini kerana ia akan meningkatkan peluang bek tengah Ireland itu tersisih daripada perancangan Howe untuk baki musim ini.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram