India kini dalam proses mencari jurulatih baharu selepas bekas jurulatih, Igor Stimac dipecat beberapa hari yang lalu. Namun begitu, kaedah yang digunakan India dalam mencari jurulatih baharu dipersoalkan.
Tindakan Persatuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) membuat hebahan jawatan kosong di laman Instagram dianggap aneh.
Tindakan tersebut telah menjadi bahan jenaka di kalangan penyokong bola sepak India dengan ada di kalangan mereka meletakkan pengalaman bermain permainan video sebagai pengalaman terbaik untuk menjadi jurulatih.
Ramai yang menganggap Instagram bukanlah platform terbaik dalam mencari jurulatih baharu bagi skuad kebangsaan India.
Hentaman demi hentaman diberikan oleh penyokong bola sepak India. Malah ada juga yang mencadangkan agar mencari calon jurulatih di platform LinkedIn.
Selepas tinjauan dibuat di laman Instagram, Indian Football, pautan bagi jawatan kosong tersebut telah dinyahaktifkan namun hantaran bagi jawatan tersebut masih ada di Instagram.
Terdahulu, khidmat Igor Stimac tidak lagi digunakan skuad kebangsaan India selepas kegagalan India mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.