Meskipun usianya sudah mencecah 40 tahun, legenda Liverpool, Fernando Torres masih kekal berbisa.
Ini dibuktikan menerusi rakaman video sesi latihan Liverpool Legends yang dimuatnaik Liverpool di platform media sosial mereka baru-baru ini.
Video tersebut menunjukkan sentuhan pemusnah yang dimiliki bekas penyerang Sepanyol itu di hadapan gol kekal mantap.
Bisa Torres dijangka ditagih Liverpool Legends bila mereka berhadapan Ajax Amsterdam Legends dalam perlawanan amal Yayasan LFC yang berlangsung pada hari ini.
Sepanjang bersama The Reds, Torres merekodkan 142 penampilan, 81 gol dan mencipta 20 bantuan gol mengikut data Transfermarkt.
Selain bekas peledak Atletico Madrid itu, pasukan itu turut disertai legenda Liverpool lain seperti Daniel Agger, Martin Skrtel, Ryan Babel dan Dirk Kuyt.
Pasukan Liverpool Legends turut mendapat sentuhan bekas jurulatih England, Sven-Goran Erikkson.
Ini sekaligus merealisasikan impian beliau bergelar jurulatih Liverpool selepas disahkan menghidap kanser beberapa bulan lalu.