“Kalau Mereka Cari Duit Di Sini, Sila Cari Sukan Lain” – Subahan Kamal
UltraSukan
Faris/MakanBola

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal memaklumkan badan induk sukan hoki negara itu hanya akan membayar pengadil mengikut kadar bersesuaian.

Kenyataan ini dibuat dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam selepas diminta mengulas isu bayaran yang dibangkitkan sebahagian pengadil Liga Hoki Malaysia (MHL).

Ad

Subahan mengingatkan bayaran yang diberi kepada barisan pengadil MHL dibuat mengikut kemampuan kantung kewangan MHC.

Ad

Seandainya mereka masih tidak berpuas hati dengan kadar bayaran yang diberi, beliau menasihatkan mereka agar beralih ke sukan lain. Ini kerana sukan hoki bukan arena sesuai buat pengadil mencari duit lebih.

“Pengadil ini kebanyakannya mempunyai kerja sepenuh masa. Jadi jangan fikir tugas ini sebagai tempat untuk mereka cari rezeki lebih.

“Anda jadi pengadil, kita tak paksa (dan) mereka datang dengan rela hati. Dan kita akan bagi mengikut kadar yang kita fikir (sesuai dengan kemampuan kewangan MHC).

Ad

“Kalau mereka mencari duit di sukan ini, saya minta mereka cari sukan lain. Ini kerana di sini bukan tempat cari duit. Ini tempat untuk kita bagi sumbangan balik kepada sukan yang kononnya mereka sayang,” katanya kepada UltraSukan.

Ad

Subahan turut memberi amaran kepada pengadil negara yang enggan berkhidmat dalam liga hoki kebangsaan.

Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, nama mereka tidak lagi akan ditonjolkan dalam arena hoki antarabangsa.

“Saya sudah beritahu Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan, Ranjit Singh (Gurdial Singh) bahawa sesiapa yang merungut, saya harap kita akan pastikan mereka (pengadil) tidak akan kita tonjolkan di peringkat antarabangsa.

“(Ini) kerana saya nampak ada beberapa pengadil ini, mereka dilantik untuk pertandingan bertaraf dunia seperti Piala Dunia Hoki dan liga-liga terbesar dunia. Tapi liga tempatan, dia tak mahu bantu. (Patutnya) di sinilah kamu patut bantu.

“Saya sudah beritahu mereka (Jawatankuasa Pengadilan) bahawa ini arahan saya. Mana-mana pengadil yang tidak mahu mengadili liga kebangsaan kita, saya akan pastikan kita akan buat surat kepada FIH (Persekutuan Hoki Kebangsaan) dan Asian Hockey (Federation/Persekutuan Hoki Asia) bahawa mereka tidak boleh menjadi pengadil di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Subahan turut memberi jaminan MHC memiliki bilangan pengadil mencukupi untuk mengadili perlawanan MHL untuk musim 2024.