Selepas mengalami kekalahan terbaru 3-1 kepada Penang tempoh hari, tekanan sudah pasti dirasai oleh jurulatih Perak, Datuk Lim Teong Kim. Dan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal bertandang ke Stadium Perak untuk perlawanan Liga Super esok, satu lagi kekalahan bakal menggugat kedudukannya sebagai jurulatih The Bos Gaurus.
Ketika ini, Perak menduduki tangga ke-10 liga dengan satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan. Dan tanpa sebarang penambahbaikan signifikan kepada prestasi pasukan, ramai penyokong sudah mula hilang sabar dengan The Bos Gaurus.
Biarpun sedar dengan tekanan tinggi yang dihadapi, Teong Kim melihat itu sebagai satu perkara biasa dalam bola sepak. Malah, bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu berpandangan kalau tidak mahu berdepan tekanan, lebih baik beliau melakukan perkara lain seperti menjual pisang goreng.
“Tekanan itu sentiasa adalah. Sebagai jurulatih dalam pasukan mana-manapun (bukan) di Perak FC sahaja. Ini biasalah kerja sebagai jurulatih, bertugas dalam pasukan bola sepak ini biasa. Jadi, kalau tak mahu tekanan, baik saya jual goreng pisang. Itu pun ada tekanan juga kan,” katanya secara berseloroh kepada Astro Arena.
Dengan status sebagai pasukan pilihan, JDT sudah pasti akan mendominasi perlawanan esok. Tetapi Teong Kim melihat tidak mustahil anak-anak buahnya mampu melakar kejutan ke atas anak-anak buah Esteban Solari.
“Kemungkinan itu ada. Bukan tak mustahil, itu semua terpulang kepada pemain-pemain kami,” tambahnya.