“Kami Sudah Jangka Arah Sepakan Bergson” – Jurulatih Buriram
MakanBola
Buriram United

Jurulatih Buriram United, Mario Silva mendedahkan pasukan itu sudah menjangka arah sepakan penalti yang diambil penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva sebelum dinafikan Neil Etheridge.

JDT berpeluang mendapat gol kemenangan apabila dianugerahkan sepakan penalti pada minit-minit akhir permainan. Pengadil berbuat demikian selepas mengesan Arif Aiman Hanapi dikasari pemain Buriram, Eduardo Mancha.

Walau bagaimanapun, penalti Bergson dinafikan Etheridge sekali gus memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Apabila diminta mengulas tentang penalti tersebut, Silva bukan saja memberi kredit kepada penjaga gol Filipina itu. Malah, beliau turut memuji input yang diberi jurulatih penjaga gol Buriram, Zoran Mijanovic bagi memastikan Etheridge dapat membuat keputusan tepat dalam situasi berkenaan.

“Saya ingin memberikan penghargaan kepada penjaga gol dan juga pasukan kami – kami ialah satu unit. Tindakan menyelamat Neil itu memang hebat tetapi saya juga ingin mengiktiraf barisan kejurulatihan penjaga gol kami, memandangkan kami telah membuat persediaan khusus untuk situasi ini.

“Kami tahu sudut mana yang mungkin akan dipilih oleh penyepak (Bergson). Ia bukan sekadar nasib, ini hasil usaha keras Neil dan jurulatih penjaga gol. Seperti yang saya sebutkan semalam, kami membuat persediaan rapi dan menganalisis pihak lawan secara terperinci dan ini salah satu daripada perincian tersebut.

“Kadangkala penyepak penalti mungkin mengubah sudut sepakan pada saat-saat akhir tetapi hari ini beliau tidak berbuat demikian,” katanya selepas perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing meraih satu mata dalam Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). JDT terlebih dahulu di hadapan menerusi Oscar Arribas.

Bekas penyerang Heidenheim, Stefan Schimmer memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata dengan menyumbat gol beberapa minit sebelum rehat separuh masa.

Aksi ini juga menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain. Kapten Buriram, Kenny Dougall mengutip kad kuning kedua dengan Eddy Israfilov dilayangkan kad merah.