Bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) dari Jepun, Kaoru Mitoma terlepas daripada dikenakan hukuman penjara akibat kesalahan trafik.
Give Me Sport melaporkan pada 8 Julai lalu, pemain Jepun berusia 29 tahun lalu terlibat dalam insiden kemalangan di mana beliau melanggar seorang penunggang basikal.
Penunggang wanita yang tidak didedahkan identitinya itu kemudian dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan. Susulan kemalangan itu, wakil Mitoma telah memohon maaf atas apa yang berlaku.
Selepas polis Jepun menyiasat kes berkenaan, pendakwa raya mengambil keputusan untuk tidak mendakwa bintang Brighton itu.
Pendakwa raya negara itu mengambil keputusan tersebut kerana Mitoma dan penunggang basikal itu didapati melakukan kesalahan melanggar lampu merah. Keputusan itu turut berdasarkan peraturan trafik Jepun yang telah dikemas kini.
Susulan itu, ejen Mitoma kemudiannya sekali lagi mengeluarkan permohonan maaf atas apa yang berlaku. “Mitoma sendiri memandang serius kemalangan ini dan membalas dengan ucapan takziah dan permohonan maaf kepada mereka yang terjejas.
“Mangsa telah dirawat oleh institusi perubatan dan didiagnosis dengan lebam tetapi Mitoma sendiri tidak cedera. Kami memandang serius perkara ini, bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan agensi berkaita, dan berusaha mempromosikan kesedaran memandu secara selamat dan menyeluruh serta memperkukuh pematuhan peraturan bagi mencegah kejadian tersebut daripada berulang.
“Sekali lagi, kami memohon maaf kepada mereka yang terjejas, keluarga mereka dan semua yang terlibat,” kata ejennya dalam satu kenyataan.
Sejak menyertai Brighton dari Kawasaki Frontale pada 2021, Mitoma telah merekodkan 27 gol dalam 135 penampilan. Beliau kini fokus untuk kembali cergas dan membantu kelab itu selepas terlepas saingan Piala Dunia 2026 akibat kecederaan.