Kapten Buriram United Label Stadium Sultan Ibrahim Berkelas Dunia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Gelanggang Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim menjadi pilihan kapten Buriram United, Kenny Dougall sebagai stadium terbaik.

Pertahanan Buriram United tersebut menjadi tunjang utama buat pasukan gergasi Thailand itu merangkul 3 kejuaraan musim ini termasuklah trofi ASEAN Club Championship (ACC) Shopee Cup beberapa minggu yang lalu.

Kenny Dougall beraksi sebanyak enam kali di sepanjang kejohanan tersebut termasuklah ketika menyingkirkan kelab gergasi Malaysia, JDT di peringkat separuh akhir, sekali gus membuka jalan buat Buriram United untuk muncul juara.

Pengalaman beraksi di Stadium Sultan Ibrahim ketika perlawanan separuh akhir pertama lalu dilihat menjadi satu momen yang menarik buat Dougall hingga membuatkannya masih bercakap tentang gelanggang keramat JDT itu.

Dougall disoal oleh peminat Buriram United mengenai stadium kegemaran beliau dan Stadium Sultan Ibrahim lantas menjadi pilihan tonggak berusia 33 tahun itu kerana disifatkan berkelas dunia dan sebuah venue yang cukup bagus.

“Saya fikir JDT memiliki stadium yang bagus. Bagi saya, Stadium Sultan Ibrahim berkelas dunia, jadi saya akan memilih itu,” kata Kenny Dougall dalam satu video temu bual bersama ASEAN United Thailand.

Perseteruan antara JDT dan Buriram United sebagai dua pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara bakal bersambung musim hadapan dengan kedua-dua kelab sekali lagi bakal bertarung di pentas ACC Shopee Cup bagi edisi akan datang.

Sungguhpun begitu, jaguh Malaysia dan Thailand ini tidak akan bertemu di peringkat kumpulan memandangkan Buriram United sebagai juara bertahan berada di kumpulan A sementara JDT pula diundi di dalam kumpulan B.