Kapten skuad futsal Selangor FC, Khairul Effendy Bahrin gembira melihat pasukan itu meraih kemenangan pertama dalam Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Selepas tewas dua kali dalam dua aksi sebelumnya, Selangor akhirnya mencatat kemenangan dengan membelasah KL City 6-1.
Syahir Iqbal Khan Akbar Khan membuka tirai jaringan buat The Red Giants seawal minit pertama. Wellington Pereira kemudiannya menggandakan kelebihan tuan rumah dua minit selepas itu.
KL City merapatkan jurang menerusi Navin Das Arokiadass pada minit kelima. Muhammad Faris Mohd Johan mengembalikan kelebihan dua gol Selangor dengan gol pada minit kelapan.
Wellington Pereira kemudiannya memastikan The Red Giants mendahului 4-0 sebelum rehat menerusi gol pada minit ke-19.
Khairul Effendy atau mesra disapa Ayon meledakkan dua gol masing-masing pada minit ke-33 dan 35 bagi melengkapkan kecemerlangan Selangor semalam.
Bagi Ayon, kemenangan ini amat bermakna buat seluruh pasukan Selangor. Ini kerana kemenangan ini memberi keyakinan kepada mereka sebelum turun menentang JDT nanti.
“Pertama sekali, kemenangan ini yang kita cari kerana kita sudah kalah dalam dua perlawanan. Dan alhamdulillah, selepas kita kalah dua perlawanan itu, semua pemain berazam nak dapatkan kemenangan pertama itu.
“Apa yang kita tengok selepas menang ini, angin baik pemain sudah dapat balik. Ini yang diperkatakan (bahawa) Selangor FC (sudah kembali).
“Dan Insya Allah kita akan bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang JDT (Johor Darul Ta’zim FC) nanti,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan semalam.
Selangor ketika ini menduduki tangga kelima liga dengan tiga mata daripada tiga perlawanan.