Kapten Thailand, Sarach Yooyen mengakui pemain tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero seorang lawan yang sukar.
Pandangan itu dibuat pemain tengah berusia 34 tahun itu dalam sidang media pascaperlawanan Thailand dan Malaysia di Stadium Rajamangala pada 1 Ogos lalu.
Sarach mengakui Thailand berdepan cabaran sukar sebelum dapat mengatasi skuad negara. Salah satu faktor perkara itu berlaku ialah kesungguhan Aguero mengawal jentera tengah Harimau Malaya.
Sarach bukan saja menganggap bekas pemain tengah Kanchanaburi Power FC itu sebagai cerdik. Malah, pemain tengah BG Pathum United itu melihat Aguero memiliki teknik yang baik dalam mengawal dan menerima hantaran bola.
“Mengawal Sergio Aguero (satu tugas) cukup mencabar bagi saya. Beliau mempunyai teknik yang baik dan bergerak dengan cerdik untuk menerima (hantaran) bola. Jurulatih juga bekerja dengan semua pemain,” katanya.
Selain Sarach, jurulatih Thailand, Anthony Hudson turut memuji impak yang ditunjukkan Aguero buat Harimau Malaya sepanjang perlawanan berlangsung.
“Sergio Aguero telah melakukan kerja yang bagus (di bahagian tengah). Kita perlu memberi penghargaan kepada staf kejurulatihan Malaysia yang telah melakukan tugas yang hebat dan permainan ini mempunyai banyak kejutan,” katanya.
Malaysia memberi tentangan sengit sebelum tewas 2-0 kepada skuad Gajah Perang. Keputusan ini menyaksikan Malaysia jatuh di tangga kedua Kumpulan B meskipun berkongsi enam mata dengan Thailand.
Anak buah Tan Cheng Hoe masih berpeluang layak ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup. Harimau Malaya mampu berbuat demikian dengan syarat menewaskan Filipina pada 8 Ogos ini.