Selepas menghiasi saingan Liga Malaysia bersama Sarawak United, Stuart Wark memilih berkelana ke Thailand untuk musim 2023. Ini selepas pemain berdarah Scotland-Malaysia itu sah menyertai kelab Liga Thai 2, Kasetsart FC.
Perpindahan ini diumumkan oleh kelab tersebut menerusi laman media sosial mereka hari ini. Ia turut dikongsikan oleh wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran.
Selain Sarawak United, Wark juga pernah beraksi untuk Sabah, Felda United, Penang FC dan PDRM. Semasa di Felda Unitedlah, dia membantu pasukan itu menjulang Liga Perdana pada 2018.
Sarawak United tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini selepas masalah kewangan mengakibatkan kelab tidak layak mendapat lesen kelab MFL. Ini mendorong ramai pemain termasuk Wark mencari kelab baru untuk meneruskan karier permainan mereka.
Wark dijangka mengisi kuota pemain import ASEAN menggantikan Soe Moe Kyaw. Ini selepas The Emerald Nagas mengambil keputusan untuk melepaskan Moe Kyaw dan berharap dia dapat mengisi kekosongan di bahagian bek tengah.