Kata-Kata Rayan Cherki Terhadap Manchester United ‘Makan Diri’
MakanBola
Manchester City FC

Manchester United memberikan pengalaman pahit kepada bintang Manchester City, Rayan Cherki

Rayan Cherki sebelum ini pernah mencuri perhatian Jun lalu selepas mengeluarkan kenyataan lantang untuk membalas dendam kepada Manchester United sebaik menyarung jersi Manchester City.

Keinginan Rayan Cherki tersebut dinyatakan terhadap United susulan pengalaman pahit ketika beraksi bersama Olympique Lyon musim lalu selepas tumbang di suku akhir UEFA Europa League (UEL).

Ketika itu, Rayan Cherki dan Olympique Lyon terpaksa akur tersingkir di suku akhir UEL setelah Manchester United menang 7-6 secara agregat sekaligus meninggalkan memori hitam buatnya.

Tidak lama kemudian, Cherki memilih Manchester City untuk mengembangkan karier, namun dendam terhadap United itu masih tersemat dan beliau nyata tidak sabar untuk membalas dendam.

“Saya tidak suka apabila Manchester United memenangi aksi tersebut (perlawanan suku akhir UEL itu) kerana saya adalah seorang Lion (pemain Lyon).”

“Sekarang saya perlu menunggu perlawanan itu (menentang Manchester United lagi) untuk membalas dendam,” ungkap Rayan Cherki seperti dilaporkan The Guardian pada 15 Jun lalu.

Walau bagaimanapun, impian Cherki itu tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila Manchester City tumpas di tangan United 2-0 dalam perlawanan yang didominasi oleh The Red Devils itu.

Cherki hanya diturunkan pada babak kedua dan tidak mampu memberikan impak besar untuk mengubah nasib pasukannya yang terus diasak oleh permainan cemerlang anak-anak didik Michael Carrick.

Sejurus wisel penamat dibunyikan, kenyataan lama Cherki itu tular semula apabila terdapat penyokong Manchester United yang mengulang siar kata-kata tersebut sebagai satu bentuk sindiran terhadap kekalahan City.

Ironinya, janji balas dendam Cherki yang dilaungkan 6 bulan lalu akhirnya menjadi bahan ejekan dan membuatkan malam di Old Trafford bagaikan satu episod pahit buatnya bersama City.