Selangor mengumumkan ketibaan ketua jurulatih baharu, Katsuhito Kinoshi berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi satu pengumuman pada lewat malam Sabtu, The Red Giants dengan sukacitanya memperkenalkan kehadiran Katsuhito Kinoshi selaku pengendali pasukan yang baharu.
“Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Katsuhito Kinoshi sebagai Ketua Jurulatih baharu,” umum pihak kelab dalam satu kenyataan.
Berbekalkan pengalaman luas dan kepakaran di peringkat antarabngsa, khidmat Kinoshi ditagih oleh Selangor untuk membawa pasukan ke arah lebih banyak kejayaan selepas ini.
“Dengan pengalaman kejurulatihan antarabangsa yang luas, Kinoshi membawa pelbagai pengetahuan taktikal dan kualiti kepimpinan yang kukuh kepada pasukan,” tambah naib juara Liga Super itu.
“Kepakaran beliau dalam pembinaan pasukan, strategi dan pembangunan belia sudah pasti akan menjadi aset berharga kerana kelab itu menyasarkan kejayaan pada musim ini.”
Menurut Kinoshi, menyertai Selangor dianggap sebagai satu penghormatan dan teruja untuk memulakan tugas bersama para pemain Gergasi Merah tidak lama lagi.
“Saya merasa terhormat untuk menyertai Selangor FC dan saya teruja untuk bekerja dengan pemain-pemain berbakat di sini,” ujar Kinoshi dalam satu kenyataan oleh pihak kelab.
Tambah jurulatih kelahiran Jepun ini, beliau akan berusaha untuk membentuk satu pasukan yang lengkap dan secara menyeluruh dari segenap aspek dalam diri para pemain.
“Bersama-sama, kami akan berusaha untuk membina sebuah pasukan yang bukan sahaja kukuh dari segi taktikal, tetapi juga penuh dengan semangat dan tekad untuk berjaya.”
Kinoshi bakal mengambil alih peranan yang ditinggalkan oleh Nidzam Jamil yang melepaskan jawatan jurulatih pada 30 Oktober lalu dengan Abdi Hassan dipilih menjadi pemangku.
Sekiranya tiada aral, tugas pertama Kinoshi dijangka bermula minggu hadapan apabila melayani kunjungan Muangthong United dalam aksi AFC Champions League 2 pada Khamis di Kelana Jaya.