Kelab J1 League, Kawasaki Frontale menunjukkan keazaman mereka apabila mara ke separuh akhir Emperor’s Cup selepas mengatasi Albirex Niigata menerusi penentuan sepakan penalti.
Selepas berjaya bangkit mengikat Consadole Sapporo 2-2 beberapa hari lepas, Frontale berharap dapat mara ke separuh akhir. Ini diharap menjadi tonik yang membantu mereka bila menentang Cerezo Osaka pada 2 September.
Malangnya, pasukan pelawat bermula dengan langkah kiri. Frontale ketinggalan pada minit ke-30 menerusi penyerang Kaito Taniguchi.
Bersambung pada babak kedua, pasukan pelawat menggandakan asakan untuk menembusi gawang Albirex. Hasilnya, Tatsuki Seko menyumbat gol penyamaan pada minit ke-68.
Dengan perlawanan berkesudahan 0-0 pada akhir babak kedua, Frontale dan Albirex perlu beraksi pada masa tambahan bagi menentukan pemenang.
Gol yang dicari Frontale akhirnya tiba pada minit ke-109 menerusi sepakan lencong deras Shin Yamada. Namun begitu, Albirex memastikan perlawanan diheret ke penentuan penalti selepas Fumiya Hayakawa meledakkan gol pada minit akhir masa tambahan.
Penentuan penalti menyaksikan Frontale mara ke separuh akhir selepas mengatasi tuan rumah 4-3. Penjaga gol mereka, Jung Sung-ryong muncul wira dengan menafikan dua penalti Albirex.
Kemenangan ini sedikit sebanyak meredakan tekanan kepada jurulatih Frontale, Toru Oniki. Dan ini turut membuktikan kepada semua lawan dalam Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC termasuk Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) bahawa Frontale masih lagi lawan yang liat.