Bintang Denmark, Christian Eriksen dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas pengsan seketika di atas padang ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Ukraine, menurut kenyataan doktor pasukan kebangsaan, Morten Boesen.
Dalam kenyataan tersebut, Boesen mengesahkan Eriksen sempat tidak sedarkan diri untuk seketika sebelum kembali sedar dengan cepat. Beliau turut memaklumkan bahawa pemain berusia 34 tahun itu berjaya meninggalkan padang dengan berjalan sendiri selepas insiden berkenaan.
“Christian berada dalam keadaan baik dan berjalan keluar dari padang sendiri. Pada pandangan saya, peranti pacemaker berfungsi seperti sepatutnya,” kata Boesen.
Tambah beliau, pasukan perubatan segera memberikan rawatan dan Eriksen kembali sedar dalam tempoh singkat selepas kejadian.
“Dia akan menjalani pemeriksaan lanjut di hospital bagi mengenal pasti punca kejadian ini. Kami sentiasa berhubung dengan beliau dan pihak doktor di hospital.”
Boesen turut memaklumkan bahawa keadaan Eriksen kini stabil, malah pemain itu sempat meminta agar mesej disampaikan kepada rakan sepasukan bahawa beliau berada dalam keadaan baik.
“Christian Eriksen baik-baik sahaja, dan dia meminta saya menyampaikan salam kepada semua pemain serta memberitahu bahawa dia okay.”
Eriksen kini sedang menjalani pemeriksaan lanjut di hospital, manakala pasukan perubatan Denmark terus memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.
Insiden ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan kerana ia berlaku beberapa tahun selepas beliau mengalami masalah jantung ketika Euro 2020, namun kali ini pihak perubatan menegaskan keadaannya stabil selepas menerima rawatan segera.