Umum mengetahui padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah ditukar daripada jenis cowgrass kepada jenis zeon zoysia sekitar Mac yang lalu. Padang baharu SNBJ itu bakal digunakan buat pertama kalinya pada kejohanan Pestabola Merdeka yang bermula 13 Oktober ini.
Namun ramai yang tertanya-tanya adakah padang tersebut sudah sedia digunakan untuk kejohanan Pestabola Merdeka atau sebaliknya. Ini kerana, proses penggantian rumput dikatakan baru bermula pada 1 Ogos yang lalu.
Baru-baru ini, telah tular video yang memaparkan keadaan terkini padang SNBJ yang dilihat sudah berubah wajah. Jika diperhatikan dengan lebih teliti, tiada lagi air bertakung di kawasan padang biarpun hujan lebat menyebabkan kawasan balapan ditakungi air.
Video yang dikngsikan oleh akaun tiktok @pendapatekor itu telah tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai pengguna tiktok yang rata-ratanya tidak sabar melihat aksi skuad kebangsaan di atas padang baharu.
Selain SNBJ, hanya negeri Sarawak sahaja yang bersetuju untuk menanam rumput Zeon Zoysia manakala negeri-negeri lain mengambil pendekatan untuk melihat dahulu perkembangan padang di SNBJ memandangkan beberapa naik taraf lain perlu dilakukan seperti saliran.
Pestabola Merdeka akan dimulakan dengan perlawanan tuan rumah, Malaysia menentang India pada 13 Oktober ini. Satu lagi aksi akan menemukan Palestin dan Tajikistan. Pemenang bagi kedua-dua aksi ini akan mara ke pentas akhir manakala pasukan yang tewas akan melalui perlawanan penentuan tempat ketiga.