Pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memberi maklum balas tentang tawaran pengambilalihan saham pasukan itu.
Sebelum ini, anak syarikat DSAT Group, Mahsuri Medical Centre (MMC) sudah mengemukakan surat tawaran pengambilalihan Sang Kenari pada 4 November lalu.
Selain mengambil alih 100% saham Kedah, MMC juga akan menguruskan liabiliti yang dimiliki pasukan itu. Susulan itu, pengurusan Sang Kenari diberi tempoh tujuh hari untuk menimbang tawaran yang dikemukakan.
Kini, Kedah memaklumkan sudah menghantar maklum balas tawaran berkenaan kepada MMC secara serahan tangan.
“Pihak KDA FC telah menghantar maklum balas kepada tawaran pihak Mahsuri Medical Centre secara serahan tangan sekitar jam 4.45 petang tadi pada 7 November 2024,” kata kelab dalam satu kenyataan ringkas.
Sekiranya pengurusan Kedah menerima tawaran tersebut, ramai penyokong berharap ia dapat menamatkan kemelut kewangan yang dihadapi pasukan utara tanah air itu.
Sebelum ini, Kedah menerima suntikan tajaan sebanyak RM300,000. Ini sebahagian daripada usaha membantu pengurusan kelab mengurangkan beban kewangan yang ditanggung ketika ini.