Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mahu mengekalkan rentak kemenangan menjelang aksi menentang PDRM FC untuk musim 2024/25.
Selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC pada 19 Oktober lalu, Sang Saka Biru menjadi sasaran terbaru Kedah.
Menariknya, pasukan itu menjadi mangsa pertama Sang Kenari dalam aksi pembukaan Liga Super pada Mei lalu. Gol pantas Syafiq Ahmad memastikan Kedah membawa pulang tiga mata dari Stadium Selayang.
Kini, kedua-dua pasukan kembali berentap untuk pusingan kedua liga. Dengan Kedah beraksi di gelanggang sendiri, Nafuzi mahu memanfaatkan kelebihan itu untuk mengekalkan rentak kemenangan.
“Alhamdulillah, dalam perlawanan sebelum ini kita mendapat tiga mata. Dan kita harap dapat kekalkanlah momentum kemenangan dengan (PDRM) lebih-lebih lagi bila kita bermain di tempat sendiri,” katanya kepada Nadi Bola.
Nafuzi mengakui dari segi kedudukan liga, Sang Saka Biru jauh lebih baik di mana mereka menghuni tangga kelima liga. Malah, pasukan itu bukan sekali menjerat pasukan-pasukan yang lebih hebat seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Atas sebab itu, beliau mahu barisan anak buahnya bersedia bagi menghadapi cabaran hebat anak buah P. Maniam itu.
“Yalah, kita tahu dari segi kedudukan, PDRM lebih baik daripada Kedah. Pemain mesti sudah bersedia untuk perlawanan ini.
“Yang penting dari segi motivasi, dari segi semangat, dari segi keinginan pemain untuk bermain dan dari segi persediaan mental dan fizikal. Dan saya harap pemain dapat bersedia seperti yang dalam perlawanan sebelum inilah,” tambahnya.
Kedah bakal menentang PDRM FC di Stadium Darul Aman pada 25 Oktober ini.