Pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan pengganti segera pengendali sebelumnya, Nafuzi Zain.
Nafuzi mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengendali Sang Kenari. Keputusan yang dibuat bekas jurulatih Terengganu FC itu diterima pengurusan Kedah dengan rasa berat.
Sehubungan dengan itu, Kedah melantik penolong jurulatih, Victor Andrag sebagai ketua jurulatih interim pasukan. Victor bakal memulakan tugasnya pada 25 November.
“Pihak pemilik, ahli lembaga pengarah serta pengurusan Kedah Darul Aman FC juga mengumumkan bahawa Victor Andrag dilantik menjadi ketua jurulatih interim pasukan Liga Super Kedah bermula 25 November 2024.
“Pihak pengurusan akan menilai serta membuat keputusan dari masa ke masa mengenai calon Ketua Jurulatih pasukan yang tetap berikutnya mengikut keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki kancah Liga Malaysia 2024/2025,” kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah, Shahrul Samsudin dalam satu kenyataan.
Victor merupakan bukan asing dalam kalangan penyokong Kedah. Ini kerana beliau berstatus pemain legenda kerana membantu Sang Kenari meraih tiga trofi pada musim 2006/07 dan 2007/08.
Selepas menggantung but, Victor menggalas peranan sebagai pembantu Janos Krecska untuk pasukan Penang FC. Beliau turut menggalas peranan sama untuk jurulatih Singapura, Aidil Sharin Sahak semasa membimbing Sang Kenari dari 2019 hingga 2022.
Selepas Aidil mengundur diri pada Oktober 2022, Victor melatih Kedah sebagai jurulatih interim untuk dua perlawanan. Beliau merekodkan satu keputusan seri dan satu kekalahan apabila berdepan Negeri Sembilan FC dalam saingan Piala Malaysia.
Tugas pertama Victor ialah mempersiapkan pasukan itu menghadapi ancaman KL City FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia. Aksi ini bakal berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 1 Disember ini.
Kedah memiliki kelebihan satu gol selepas menewaskan The City Boys 3-2 dalam aksi pertama pusingan tersebut.