Advertisement
Nafuzi Zain Letak Jawatan Pengendali Kedah
Transfer
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Kedah Darul Aman mengumumkan peletakan jawatan ketua jurulatih, Nafuzi Zain berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi satu kenyataan oleh Kedah Darul Aman, Shahrul Samsudin selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC menerima peletakkan jawatan Nafuzi dengan berat hati.

“Kedah Darul Aman FC ingin memaklumkan bahawa pihak pengurusan telah menerima permohonan perletakkan jawatan Ketua Jurulatih, Mohd Nafuzi Mahammad Zain pada hari ini,” umum pihak kelab.

“Permohonan ini telah diperhalusi dengan sedalamnya oleh pihak pemilik, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan diterima dengan rasa berat hati tetapi penuh rasa hormat.”

Jasa Nafuzi sepanjang bersama pasukan turut mendapat pengiktirafan oleh pihak pengurusan selain mengumumkan Victor Andrag selaku jurulatih interim berkuat kuasa serta-merta.

“Kedah Darul Aman FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti beliau selama ini serta mendoakan beliau sukses selalu dalam perjalanan karier beliau selepas ini.”

“Pihak pemilik, Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan Kedah Darul Aman FC juga mengumumkan bahawa Victor Andrag dilantik menjadi Ketua Jurulatih Interim pasukan Liga Super Kedah bermula 25 November 2024.”

Pihak pengurusan Kedah juga bakal menilai serta membuat keputusan mengenai calon pengganti Nafuzi Zain mengikut keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki kancah Liga Malaysia 2024/2025.

Pencapaian terbaik Nafuzi bersama Kedah adalah membantu Sang Kenari meraih tempat ke-4 Liga Super 2023 dan mara ke peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024.