Nama bekas pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski disebut-sebut sebagai calon paling hadapan untuk mengambil alih tampuk kejurulatih pasukan kebangsaan Australia.
Perkara ini dinyatakan secara terbuka oleh lagenda bola sepak Australia, Mark Schwazer yang melihat perlunya perubahan pada barisan kejurulatihan pasukan Socceroos ketika ini.
Kenyataan bekas penjaga gol Socceroos itu hadir ketika masa depan Tony Popovic sebagai ketua jurulatih masih kabur. Pengendali berusia 53 tahun itu sebelum ini hanya bersetuju dengan lanjutan kontrak enam bulan sehingga Mac depan untuk membawa skuad ke Piala Asia AFC.
Bagaimanapun, kejohanan itu ditangguhkan ke hujung 2027, dan Football Australia (FA) kini menetapkan tarikh akhir pada Disember untuk memutuskan masa depan beliau. Situasi bertambah rumit apabila nama Popovic turut dikaitkan dengan kerusi jurulatih kelab Liga Perdana Inggeris, Crystal Palace.
Dari segi prestasi, Australia kini berada di kedudukan ke-26 ranking FIFA. Walaupun mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, jaguh Asia itu masih belum menang dalam mana-mana daripada empat perlawanan persahabatan sepanjang tahun ini. Selepas Piala Dunia, mereka sekadar seri 1-1 dengan Brazil di Townsville sebelum tumpas 2-4 kepada pasukan sama di Brisbane.
Menurut bekas penjaga gol Chelsea dan Fulham itu, Australia perlu meneruskan tradisi melantik jurulatih tempatan sekiranya Popovic tidak lagi bersama pasukan. Lebih-lebih lagi, beberapa nama sudah membuktikan kemampuan mereka di luar negara.
Antara nama awal yang meniti di bibir beliau adalah Cklamovski, yang menikmati musim
hebat bersama Harimau Malaya sebelum ke England.
“Kita (Australia) memiliki beberapa nama besar dalam barisan kejurulatihan yang berjaya di luar negara seperti Peter Cklamovski, Ange Postecoglu, Kevin Muscat dan juga Joi Aloisi.
“Mereka ini sepatutnya berada dalam perbincangan (siapa yang bakal menerajui skuad kebangsaan Australia). Bagaimanapun dengan peluang mereka, siapa yang berminat?”
“Ini termasuklah Toni Popovic, jadi mereka ini sepatutnya berada dalam perbincangan,” ujar Schwarzer kepada Football360au.
Daripada senarai itu, Cklamovski sedang mencuri perhatian bersama Salford City di League Two England. Selepas tewas dalam tiga perlawanan pertama musim ini, kelab milik David Beckham dan Gary Neville itu bangkit dengan lapan kemenangan berturut-turut. Kini, Salford City mendahului liga dengan 31 mata daripada 14 perlawanan, lima mata di depan Barnet.
Postecoglou pula mengemudi Al Nassr di Arab Saudi dan baru-baru ini membawa pasukan itu menang 6-2 ke atas Pakhtakor dalam Liga Juara-Juara AFC Elite 26-27. Kevin Muscat telah memenangi dua kejuaraan Liga Super China berturut-turut bersama Shanghai Port, dan kontraknya tamat Disember ini. John Aloisi pula membimbing Chengdu Rongcheng, namun pasukannya gagal mengutip sebarang mata dalam lima perlawanan baru-baru ini.
Mengulas soal tempoh pengalaman di luar negara, pemain berusia 54 tahun itu berpendapat tiada syarat tetap untuk seseorang jurulatih pulang membimbing negara.
“Saya tak rasa ada masa yang mininum untuk mereka berada di luar sebelum boleh pulang membimbing pasukan kebangsaan.
“Pada pendapat saya, ianya melibatkan keadaan dan paling penting ialah masa. Siapa yang bersedia ketika ini, bagaimana falsafah yang mereka mahu terapkan. Adakah ia sesuai dengan apa yang persatuan mahukan?”
Legenda yang pernah mewakili Australia sebanyak 109 kali itu turut melihat kemunculan generasi muda sebagai faktor penting dalam memilih jurulatih baharu. Antaranya ialah Nestory Irankunda dan Alessandro Circati, yang masing-masing menjaringkan gol ketika menentang Brazil pada September lalu.
“Kita (Australia) memiliki sejumlah pemain muda yang berbakat untuk hadir dan bersama pasukan senior. Jadi, kita perlu lihat siapa calon pengendali paling sesuai untuk dilantik mengemudi pasukan dan membentuk gabungan dengan pemain senior,” tambahnya lagi.
Buat masa ini, Popovic masih mengetuai Socceroos untuk dua perlawanan persahabatan menentang Qatar dan Jordan pada jendela FIFA November ini.
Jika jawatan itu kosong selepas tarikh akhir Disember, pengendali kelahiran Sydney itu antara nama yang hangat dipertimbangkan, terutamanya dengan prestasi cemerlang bersama Salford ketika ini namun setakat ini, berita ini hanya berstatus khabar angin.

