Peter Cklamovski ‘Goyah’ Di England
MakanBola
Salford City FC

Bekas jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berdepan permulaan sukar bersama pasukan baharunya, Salford City.

Tiga aksi awal termasuk dua aksi Liga Dua (divisyen empat England) menyaksikan Salford tewas dalam semua perlawanan. Terbaru, pasukan itu tewas 1-0 kepada Chesterfield.

Gol awal Lee Bonis memastikan Salford kekal berada di tangga ke-22 liga. Chesterfield pula kini di tangga ke-16 selepas merekodkan satu kemenangan dan satu kekalahan.

Ini bukan sesuatu yang dimahukan Cklamovski dan Salford selepas berbelanja besar untuk kempen musim ini. Antara pemain yang dibawa masuk ialah bekas penyerang Milwall, Macaulay Langstaff dan bekas bek tengah Wigan Athletic, Will Aimson.

Cklamovski turut membawa masuk bekas penolong jurulatih Harimau Malaya, Matthew Smith sebagai pembantu jurulatih. Aaron Cameron pula tiba sebagai jurulatih penjaga gol dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton.

Jurulatih Australia itu memerlukan kemenangan dengan segera sekali gus menjadi batu asas untuk misi layak ke Liga Satu (divisyen tiga England) musim hadapan.

Selepas ini, Salford akan berdepan Shrewsbury dalam aksi liga seterusnya pada 29 Ogos. Aksi ini dilihat peluang buat anak buah Cklamovski membalas dendam terhadap kelab yang berpangkalan di Shropshire itu.

Hal ini timbul kerana Shrewsbury bertanggungjawab menyingkirkan Salford dalam aksi pusingan pertama Carabao Cup. Kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain dan terikat 1-1 sebelum Salford tewas 4-3 menerusi penentuan penalti.