Pengendali Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain dilaporkan bakal mengemudi skuad Malaysia B-23.
Nafuzi mula membimbing Kedah pada tahun 2023 setelah meninggalkan jaguh Pantai Timur, Terengganu dan berhasil membawa Sang Kenari meraih tempat keempat Liga Super musim lalu.
Isu luar padang seperti tunggakan gaji yang menimpa Kedah belakangan ini menyebabkan juara Piala FA 2019 itu dijangka kehilangan beberapa pemain termasuklah jurulatih, Nafuzi Zain.
Khabar angin melibatkan Nafuzi ini dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkenaan jurulatih muda itu bakal meninggalkan Sang Kenari dan berperanan sebagai pengendali skuad muda negara.
”Nafuzi Zain bakal tinggalkan Kedah Darul Aman, difahamkan menjadi calon jurulatih B23 negara,” lapor Zulhelmi di laman X
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun pihak Kedah Darul Aman mengenai perkhabaran ini.
Nafuzi dan pasukannya, Kedah Darul Aman bakal menerima kunjungan KL City dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia di Alor Setar pada Jumaat ini.