Johor Darul Ta’zim memastikan tiket lebih terjamin untuk ke pusingan kalah mati selepas tumbangkan Vissel Kobe dalam aksi AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa.
Kedua-dua pasukan turun dalam perlawanan terakhir untuk peringkat liga ACLE Zon Timur dengan JDT membawa misi penting untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati sekali lagi.
Misi tersebut berjaya dilaksanakan apabila jaringan tunggal Marcos Guilherme pada babak kedua memberikan 3 mata dan kemenangan 1-0 ke atas Vissel Kobe untuk ke pusingan seterusnya.
Kemenangan ini melonjakkan kedudukan JDT ke tangga ke-6 carta liga ACLE Zon Timur dengan mengumpul 11 mata hasil 3 kemenangan, dua keputusan seri dan 3 kekalahan selepas 8 perlawanan.
Kedudukan ini sudah cukup buat JDT bagi mara ke pusingan kalah mati ACLE Zon Timur, mengulangi pencapaian musim lalu dengan dijangka bakal menghadapi Sanfrecce Hiroshima dari Jepun.
Dua lagi baki perlawanan ACLE Liga Zon Timur bagi minggu ke-8 akan berlangsung pada Rabu membabitkan aksi Ulsan HD vs Shanghai Port dan Gangwon vs Melbourne City yang bakal menentukan kedudukan akhir.