Kedudukan Terkini Malaysia B-19 Selepas Jinakkan Singapura
MakanBola
FA Singapore

Malaysia berada dalam laluan tepat untuk layak ke separuh akhir Kejuaraan B-19 ASEAN selepas melunaskan misi pertama ke atas Singapura.

Aksi pertama kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN menyaksikan Malaysia membuka kempen dengan langkah kanan selepas berjaya melepasi cabaran hebat Singapura hasil kemenangan 3-0 di Stadium Teladan, Indonesia pada Selasa.

Tiga jaringan masing-masing daripada Arif Aiman Za’aba, Abid Safaraz dan Tengku Hasyri memastikan permulaan sempurna buat pasukan muda negara kendalian Nafuzi Zain pada Kejuaraan B-19 ASEAN edisi kali ini.

Kemenangan selesa 3-0 ini turut meletakkan Malaysia B-19 di kedudukan kedua kumpulan B, berkongsi tiga mata bersama Thailand yang menerajui carta selepas berhasil membelasah Brunei Darussalam 9-0 dalam satu lagi aksi.

Dua lagi perlawanan peringkat kumpulan bakal jadi penentu nasib pasukan muda negara melangkah ke separuh akhir atau tidak memandangkan hanya 3 juara kumpulan dan satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan layak nanti.

Kemenangan besar wajib menjadi sasaran skuad muda kebangsaan kali ini dalam memastikan slot ke separuh akhir berada dalam genggaman selamat terutamanya dari pasukan pencabar hebat dalam kumpulan B iaitu Thailand.

Brunei bakal menjadi lawan kedua buat Malaysia B-19 pada 5 Jun hadapan di venue yang sama dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 5 petang waktu Malaysia.