Kejuaraan B-19 ASEAN: Malaysia Mudah Benam Singapura
MakanBola
ASEAN Boys Championship

Malaysia membuka kempen Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 dengan langkah kanan selepas membenam cabaran Singapura dalam aksi pertama kumpulan B pada Selasa.

Kemenangan mudah 3-0 dilakar oleh Malaysia ke atas Singapura di Medan, Indonesia dalam aksi pertama kumpulan B sekali gus memudahkan laluan buat pasukam muda negara bagi melangkah ke separuh akhir Kejuaraan B-19 ASEAN.

Duo penyerang muda JDT, Arayyan Hakeem dan Abid Safaraz menggalas peranan selaku penggempur Malaysia B-19 manakala Andy Reefqy diberi tugas untuk memimpin kesebelasan utama pasukan muda Singapura pada aksi ini.

Gol pembukaan berjaya diperoleh skuad muda kebangsaan selepas tandukan Arif Aiman Za’aba berhasil menewaskan penjaga gol Singapura B-19, Ilhan Rezal pada minit ke-21 permainan bagi membolehkan Malaysia mendahului 1-0.

5 minit sebelum rehat, Abid Safaraz menggandakan kelebihan buat pasukan muda negara, sekali lagi berpunca dari situasi sepakan sudut yang ditanduk cantik oleh pemain JDT III itu untuk Malaysia selesa memimpin pada babak pertama.

Tekanan makin memuncak buat Singapura selepas Malaysia B-19 berjaya mencetak gol ketiga pada minit ke-61 menerusi percubaan lengkung yang terus menerjah ke gawang lawan oleh Tengku Hasyri untuk menceriakan kem negara.

Aksi di Stadium Teladan, Medan berakhir dengan keputusan 3-0 memihak Malaysia B-19 sekali gus meletakkan skuad bimbingan Nafuzi Zain ini di tangga kedua kumpulan B, berkongsi 3 mata dengan Thailand selepas satu perlawanan.

Brunei bakal menjadi lawan kedua buat Malaysia B-19 pada 5 Jun hadapan di venue yang sama dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 5 petang waktu Malaysia.