Kejuaraan B-17 ASEAN: Malaysia Garang Ke Final, Belasah Laos
MakanBola
Lao FF

Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) mengesahkan kemaraan ke final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 dengan menewaskan Laos di peringkat separuh akhir.

Anak buah Shukor Adan berharap bukan saja merealisasikan sasaran mara ke final. Malah, skuad muda negara berpeluang mengulangi pencapaian mara ke final yang dicapai pada edisi 2019.

Adam Muqri Muhaizam terus diberi kepercayaan oleh Shukor untuk mengetuai skuad muda Malaysia menghadapi cabaran Laos.

Laos yang dibimbing Supachai Klangkrasae bernasib malang apabila pemain pertahanan, Bounthasak Chandala dibuang padang.

Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Bounthasak ke atas pemain negara dalam kotak penalti. Penalti tersebut mudah disempurnakan Yusuf Nasrullah Ramli pada minit ketujuh.

Gawang Laos dirobek buat kali kedua empat minit selepas itu. Aniq Thaqif Hairulnizam melepaskan rembatan kencang tepat ke penjuru atas gawang melepasi penjaga gol lawan, Sankham Thavithong.

Malaysia sekali lagi dianugerahkan sepakan penalti pada minit akhir babak pertama. Walau bagaimanapun, penalti Yusuf berjaya dinafikan Sankham.

Laos cuba bangkit mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Malaysia terus meningkatkan serangan untuk memburu gol tambahan.

Pemain pertahanan Laos, Nilandone Xayaseng bernasib malang apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-57. Ini selepas rembatan Muzakir Fitri Muhamad terkena kakinya sebelum menerjah.

Pemain gantian Laos, Vithaya Sophaxay hampir mengurangkan defisit gol pada minit ke-73. Malangnya, percubaannya tersasar.

Laos berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia layak ke final buat kali pertama sejak 2019.

Anak buah Shukor bakal berdepan sama ada Vietnam atau Australia di pentas final. Laos pula bersiap sedia untuk perlawanan penentuan tempat ketiga.

Kedua-dua perlawanan akan diadakan di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo pada 24 April ini.