Jurulatih Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16), Shukor Adan berharap dapat membawa anak buahnya mara ke final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026.
Hal ini dinyatakan bekas pemain pertahanan kebangsaan itu apabila ditanya tentang sasaran pasukan itu dalam kejohanan berkenaan.
Shukor mengakui sasaran mara ke final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 dilihat sasaran yang realistik buat skuad muda Malaysia.
Selain itu, barisan pemain Malaysia B-16 juga dilihat cukup bersemangat untuk merealisasikan sasaran berkenaan. Ini ditambah dengan penampilan Malaysia di pentas final ialah edisi 2019.
“Alang-alang kita sudah berada di separuh akhir, untuk saya itu yang sasaran yang kita tetapkan kepada pemain-pemain. Dan itu juga sasaran daripada saya.
“Itu yang selepas perlawanan dengan Timor Leste, saya juga bercakap dengan pemain-pemain, ‘Alang-alang kita dah sampai ke semi final, kita kena buatlah sehabis baik kita untuk melayakkan diri ke final.
“Jadi, saya masih lagi yakin dengan pemain-pemain saya. Dan apa yang kita lihat, mereka pun mempunyai motivasi yang baik sekali untuk melayakkan diri ke final,” katanya.
Meskipun begitu, Shukor mahu anak buahnya fokus kepada aksi separuh akhir menentang Laos terlebih dahulu.
Beliau turut berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan yang terbaik buat skuad muda negara menjelang aksi tersebut pada 22 April ini.
“Saya rasa apa yang penting pelawanan mentang Laos itu lagi penting dahulu. Kita pergi (nilai) dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain pada akhir Rabu nanti,” tambahnya.
“Dan saya harap doa daripada penyokong-penyokong yang berada di Malaysia supaya memberi dorongan dan semangat kepada anak-anak ini supaya melakukan tugasnya yang terbaik pada hari Rabu nanti dan membawa Malaysia ke perlawanan akhir pada 24 haribulan nanti.”
Malaysia bakal bertemu Laos di peringkat separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN. Laos muncul juara Kumpulan B dengan mengejutkan Thailand 3-2 dalam aksi terakhir kumpulan.
Malaysia pula mara selaku naib juara terbaik kumpulan selepas mengumpul enam mata dalam Kumpulan A.